Monday, November 7, 2011

SISTEM PENCUCUHAN

SISTEM PENCUCUHAN ( IGNITION SYSTEM )

Tujuan sistem ini pada kenderaan adalah untuk mengagihkan voltan. Voltan sejumlah 12 volt daripada bateri melalui gelung utama hingga ke tahap 40,000 volt melalui gelung sekunder ke palam pencucuh yang melalui kabel voltan tinggi. Ini supaya percikkan api dapat melompat diantara elektrod positif dan elektrod bumi untuk menyalakan campuran bahan api dan angin dalam kebuk pembakaran ‘combustion chamber’ enjin pada masa tertentu.

Rajah 9 (a) : Wiring diagram, dual electronic ignition with isolated backup battery

Sistem pencucuhan memainkan peranan yang penting pada sesebuah enjin dari segi kuasa, ekonomi, dan kawalan pancaran. Sistem pencucuhan mesti menghasilkan voltan tinggi arus elektrik ke silinder mengikut aturan pembakaran yang betul. Sistem ini memerlukan pelbagai jenis senggaraan termasuk menggantikan komponen yang rosak seperti menggantikan palam pencucuh, titik sesentuh, tukup pengagih dan menservis bahagian dalam tukup pengagih supaya

kuasa enjin berada pada tahap yang maksimum. Bagi enjin yang dipasang dengan titik sesentuh, jarak titik sesentuh menentukan keupayaan pecutan dan operasi sesebuah kenderaan.

Sistem pencucuhan elektronik pula tidak terkecuali daripada kerosakan. Ini juga memerlukan kerja senggaraan yang secukupnya dan berterusan dengan kelengkapan seperti penganalisis enjin, tako meter dan lampu pemasaan ‘timing light’. Antara masaalah yang sering berlaku dalam sistem pencucuhan adalah seperti berikut :-

9.1  Tiada percikan api pada titik sesentuh.
9.2  Gelung pencucuh cepat panas dan enjin tidak beroperasi dengan norma atau tiba-tiba mati.
9.3  Enjin berfungsi melalui tiga silinder atau kurang.


 9.1  Tiada percikan api pada titik sesentuh.


                   
Rajah 9.1 (a) : Distributor

Apabila enjin tidak dapat dihidupkan, buka tutup pengagih, manakala pengunci kereta pada kedudukan ‘ON’. Buka titik sesentuh dengan pemutar skru, sejurus sahaja sesentuh dibuka percikan bunga api sepatutnya melompat antara titik sesentuh. Tetapi jika sebaliknya (tiada percikan api), ia bermakna bekalan voltan daripada bateri tidak sampai ke titik sesentuh.

Jika ini berlaku, dapatkan jumlah voltan yang terdapat pada bateri dengan menggunakan meter volt. Bateri hendaklah sekurang-kurangnya 9-10 volt. Pastikan

wayar daripada teminal negatif gelung pencucuh bersambung pada terminal pengagih. Buka sambungan wayar pada sebelah pengagih dan sentuhkan ke punca bumi. Ia mesti mengeluarkan percikan api dan ini menunjukkan terdapat voltan bekalan sampai kepada titik sesentuh. Buka titik sesentuh yang dalam keadaan tertutup dengan pemutar skru dan periksa percikan api sekali lagi.

Sekiranya masih tidak terdapat percikan api, betulkan sambungan daripada gelung kepada pengagih, elakkan litar pintas terhadap punca bumi. Kemudian periksa keadaan titik sesentuh samaada lapisan masih baik atau sudah terlalu haus. Jika lapisan sesentuh didapati haus, pemilik kereta digalakkan menukar dengan yang baru. Laraskan jarak titik sesentuh antara 0.35-0.55mm. palam pencucuh perlu diservis pada setiap jarak 10,000 kilometer perjalanan.


9.2   Gelung pencucuh cepat panas dan enjin tidak beroperasi dengan normal atau tiba-tiba mati.

Tanda-tanda begini menunjukkan cecair dalam tabung gelung pencucuh telah berkurangan selepas lama digunakan, suhu tinggi dan voltan tinggi yang dihasilkan melalui gelung sekunder tidak dapat diserap sepenuhnya disebabkan cecair dalam tabung gelung pencucuh tidak mencukupi.
Jika ini berlaku, pastikan tiada sambungan yang longgar pada kedua-dua terminal gelung pencucuh. Ketatkan jika terdapat kelonggaran pada terminal. Setelah kerja pemeriksaan kelonggran dibuat tetapi keadaan masih tidak berubah, ini menunjukkan gelang pencucuh telah rosak dan perlu diganti dengan yang baru.


9.3   Enjin berfungsi melalui tiga silinder atau kurang.

Tanda-tanda enjin berfungsi melalui tiga silinder bagi enjin kebuk ialah enjin bergegar, kurang kuasa, dan melahu secara tidak konsisten. Terdapat dua jenis kerosakan utama iaitu samaada daripada kerosakan palam pencucuh atau kabel voltan tinggi yang rosak. Jika ini berlaku, keluarkan palam pencucuh satu persatu.

Kemudian sambungkan ke kabel palam pencucuh, enjin diengkol dan pegang palam pencucuh kira-kira 5 mm daripada punca bumi (badan enjin). Perhatikan bunga api, jika tidak terdapat api pada palam pencucuh semasa diengkol, cabut palam pencucuh daripada kabel dan lakukan seperti dinyatakan tadi.

Jika terdapat percikan api semasa enjin diengkol, itu menunjukkan palam pencucuh tersebut telah rosak dan perlu diganti. Kadangkala semasa ujian dibuat, kabel palam pencucuh tertentu hanya mengeluarkan sedikit sahaja bunga api. Jika ini berlaku berkemungkinan semasa pemasangan kabel tersebut, tukup pengagihnya longgar. Oleh yang demikian, ketatkan pemasangan kabel tersebut pada tukup pengagihnya, dan uji sekali lagi.

Jika kabel dalam pencucuh bunga api tidak mengeluarkan bunga api semasa diengkol, itu menunjukkan kabel tersebut telah rosak dan perlu diganti dengan yang baru. Berikut adalah beberapa
ciri-ciri sistem pencucuhan yang baik :-

-         Enjin mudah dihidupkan
-         Bunyi enjin dalam keadaan stabil dan lancar tanpa gangguan dan meragam.
-         Tiada kedengaran bunyi letupan daripada paip ekzos apabila kelajuan enjin dipertingkatkan.
-         Kuasa pecutan enjin mudah berada di tahap maksimum.



 Rajah 9 (b) : Distributor cap for 6 cylinder

Rajah 9 (c) : Distributor cap (pandangan dalam)

No comments:

Post a Comment