Monday, November 7, 2011

SISTEM ENJIN


Enjin merupakan sebuah mesin yang digunakan untuk menukar tenaga haba kepada tenaga mekanikal dan seterusnya menggerakkan sesebuah kereta. Enjin kereta dibahagikan kepada dua bahagian iaitu enjin pembakaran dalam dan enjin pencucuh mampatan. Enjin pembakaran dalam menggunakan bahan api jenis petrol, jenis ini sangat meluas digunakan diseluruh dunia kepada kenderaan penumpang. Manakala enjin pencucuh mampatan menggunakan bahan api jenis diesel yang sinonim kepada kenderaan perdagangan berkapasiti besar.

Cara enjin pembakaran dalaman beroperasi terbahagi kepada dua cara iaitu enjin yang terdapat pada kereta biasa (enjin lazim) yang dipasang dengan karburator, dan enjin jenis sistem pancitan bahan api elektronik.Dalam enjin pancitan bahan api elektronik,

sistem bahan api dan sistem pencucuh dikawal melalui unit kawalan elektronik. Manakala enjin pencucuh mampatan pula beroperasi menggunakan campuran bahan api dan udara yang dibakar melalui proses mampatan tinggi. Enjin ini terdapat pada enjin diesel.

Dalam sesebuah sistem enjin banyak komponen boleh terdedah kepada pelbagai jenis kerosakan, seperti antaranya :


Enjin kekurangan kuasa

Rajah 5 (a) : Valve system operation

v     Dinding silinder terlalu haus atau gelang omboh haus atau patah di dalam silinder

Cara untuk memastikan kerosakan tersebut adalah dengan menggunakan tolok mampatan yang dipasang pada lubang palam pencucuh pada setiap silinder. Setelah mengeluarkan palam pencucuh, pusingkan aci engkol dan periksa tahap mampatan pada setiap silinder. Jika tahap mampatan kurang daripada 10 bar, ini memberitahu ada kebocoran pada ruang silinder yang diakibatkan gelang omboh sudah haus dan akan menyebabkan enjin berkurangan kuasa serta memerlukan kerja baik pulih.

v     Kelajuan melahu dilaras tanpa mengikut buku panduan servis

Apabila melaras kelajuan enjin semasa melahu sentiasalah merujuk buku panduan servis, contohnya enjin Honda City 1.3 liter, kelajuan melahu ialah 650-750 putaran per minit (ppm). Enjin Honda Accord, kelajuan melahu ialah 750 putaran per minit.

v     Pemutus sesentuh terbakar atau haus yang teruk


Apabila pemutus sesentuh terbakar atau haus, voltan yang tinggi tidak dapat mengalir sepenuhnya melalui sesentuh. Oleh itu, buka tutup pengagih, cabut kabel voltan daripada tutup pengagih dan buka suis pencucuh. Perhatikan samada terdapat bunga api melompat antara titik sesentuh tersebut. Jika tiada bunga api antara titik sesentuh, gantikan dengan titik sesentuh yang baru. Kelegaan pemutus sesentuh berbeza untuk setiap pengeluar enjin, kelegaan lazimnya adalah antara 0.30-0.45 mm.


v     Berikut adalah beberapa contoh model kereta berserta dengan kelegaanya.

Model enjin
Kelegaan palam pencucuh
Kelegaan pemutus sesentuh
Honda
0.80 mm
0.40 mm
Toyota
0.80 mm
0.35 mm
Proton Saga
0.80 mm
0.35 mm
Datsun
0.80 mm
0.35 mm

Jadual 5.1 (a)  :  Menunjukkan kelegaan palam pencucuh dan kelegaan
   pemutus sesentuh
Sumber           :  Masaalah Dan Cara Menyelenggara Kereta ( DBP, Joseph Baron )

v     Minyak pelincir melebihi paras maksimum

Minyak pelincir yang melebihi paras maksimum boleh menyebabkan aci engkol teralu berat untuk berputar. Ketika mengisi minyak pelincir baru, setelah diisi biarkan seketika untuk minyak turun ke takungan minyak. Kemudian ambil bacaan pada batang celup. Isikan sehingga paras maksimum. Jangan tuang semua sekali minyak. Sesetengah kenderaan sahaja yang boleh.

v     Enjin melahu terlalu laju


Periksa kelajuan melahu dengan penganalisis enjin atau takometer. Rujuk kepada spesifikasi servis tentang kelajuan melahu, iaitu antara 700-850 putaran per minit (ppm). Kebanyakan kereta mempunyai meter kelajuan pada papan pemuka dan kelajuan enjin dapat dikesan melalui meter tersebut.

v     Palam pencucuh rosak


Rajah 5.1 (b) : Palam pencucuh


Jika terdapat palam pencucuh rosak, enjin akan berfungsi menggunakan dua atau tiga silinder palam sahaja. Untuk rawatan masaalah ini, buka palam pencucuh dengan perengkoh palam pencucuh dan periksa keadaan elektrod tengah dan elektrod bumi. Jika terdapat kesan terbakar atau elektrod tengah terlalu pendek, gantikan palam pencucuh tersebut mengikut kesesuaian kereta tersebut. Lakukan penyenggaraan palam pencucuh apabila odometer mencapai 10,000-12,000 km jarak perjalanan. Bersihkan endapan karbon di kebuk pembakaran setiap 25,000-34,000 km jarak perjalanan. Keadaan palam pencucuh dapat memberitahu kesilapan kerja enjin dan mungkin dapat mengelakkan kerosakan. Contohnya kadar campuran bahan api dengan udara atau kebocoran pada kebuk pembakaran enjin.

Enjin tidak dapat dihidupkan

v     Adakah bateri terlalu lemah

Meter volt digunakan untuk menguji jumlah voltan yang terkandung dalam bateri tersebut. Jika bateri telah lemah, gantikan dengan bateri yang telah dicas sepenuhnya. Voltan bateri untuk menghidupkan enjin hendaklah tidak kurangdaripada 10 volt. Jika tiada bateri yang lain untuk tujuan tersebut, gunakan pengecas cepat (jumper) untuk menambah voltan bateri pada kenderaan yang hanya untuk menghidupkan enjin.

v     Kerosakan pada sistem pencucuhan

Cabut kabel voltan tinggi daripada tengah pengagih dan letakkan pada jarak kira-kira 5 mm daripada punca bumi (badan kenderaan). Cuba hidupkan enjin dan pastikan terdapat kehadiran bunga api melompat diantara elektrod tengah dengan punca bumi. Jika terdapat percikan bunga api di antara kabel dan punca bumi. Kerosakan dijangka berlaku pada gelung pencucuh. Gantikan gelung pencucuh dengan yang baru.

v     Titik sesentuh rosak

Buka tutup pengagih dan cuba hidupkan enjin. Perhatikan percikan bunga api melompat diantara titik sesentuh sejurus sahaja ia terbuka. Jika tiada percikan bunga api menyala antara titik sesentuh maka ini menunjukkan titik sesentuh telah rosak, perlu diganti dengan yang baru, kadang-kala selepas memasang titik sesentuh yang baru, tiada terhasil bunga api diantara titik sesentuh dengan punca bumi. Titik sesentuh yang didapati mengandungi endapan karbon yang berlebihan juga boleh menghalang bunga api daripada menyala, menyebabkan enjin tidak boleh dihidupkan. Servis titik sesentuh dengan menggunakan kertas pasir halus bertujuan untuk membuang endapan karbon.

v     Tiada atau lebih kelegaan tepet (tappet clearance)

            Pelarasan injap yang sempurna memberikan sedikit kelegaan di antara batang injap dan hujung aci jumpelang ‘rocker arm’. Kelegaan injap membenarkan kembangan haba bagi komponen yang bekerja. Tanpa kelegaan menyebabkan injap-injap separuh terbuka semasa bekerja menyebabkan proses pembakaran campuran bahan api tidak sempurna. Akibat ini adalah kurang kuasa yang terhasil.
 Kelegaan ini adalah kecil, berbeza antara injap masukan dan injap ekzos. Juga berbeza antara pengeluar enjin. Contohnya Enjin Honda, kelegaan bagi injap ekzos adalah 0.30 mm dan injap masukan adalah 0.25 mm. Untuk Proton pula adalah 0.25 mm pada injap ekzos dan 0.20 mm pada injap masukan. Bacaan ini pada keadaan enjin sejuk.

v     Tangki bahan api kosong / kerosakan pam bahan api

Cabut hos punca keluaran bahan api daripada pam bahan api dan cuba hidupkan enjin. Semasa keadaan ini, bahan api dijangka terpancut keluar dari hos tersebut. Jika terdapat bahan api keluar daripada hos keluaran, mungkin tiada bahan api dalam tangki. Periksa tangki bahan api dan masukkan bahan api kedalam tangki bahan api. Jika masih terdapat banyak bahan api didalam tangki dan bahan api tersebut tidak terpancut, mungkin kerosakan berlaku pada pam bahan api dan mungkin perlu diganti.

Bunyi ketukan daripada enjin

v     Kerosakan galas dan tukup galas

Selalunya ketukan yang kedengaran daripada blok enjin adalah disebabkan kehausan yang berlebihan pada galas atau tukup galas. Biasanya pada galas rod penyambung pada aci engkol atau galas antara aci engkol dan blok enjin. Masaalah ini hanya dapat diatasi dengan membaik pulih enjin. Tetapi jika bunyi ketukan tidak terlalu bising, ianya boleh diatasi dengan menggunakan minyak pelincir enjin yang tebal seperti SAE 40.


v     Berikut adalah beberapa ciri-ciri enjin yang baik :

-         Enjin mudah dihidupkan.
-         Enjin mempunyai kuasa pecutan yang baik.
-         Suhu enjin sentiasa stabil dan tidak mudah terlalu panas.
-         Enjin beroperasi dengan senyap.
-         Terdapat air yang keluar daripada ekzos,ini menunjukkan nisbah larasan bahan api yang tepat.
-         Enjin tidak bergegar semasa beroperasi.
-         Bagi enjin sistem pancutan bahan api elektronik (EFI), kerlipan lampu isyarat kerosakan tidak ada semasa enijn beroperasi.


 

 

Rajah 5 (a) : Contoh enjin V 8

No comments:

Post a Comment